Wednesday

kisah tuan di pukat (mengenang allahyarham nazar abdul)

[ Kisah Tuan DiPukat ]
Mengenang Allahyarham Nazar Abdul.
Dimeja panjang tuan
mengibar senyum
dan secebis pengalaman
cepat terhimpun
pada jala kehidupan
memukat kisah
pada samudera ini
Dimeja panjang
tawa tuan tersangkut
pada jala kehidupan
seorang nelayan
baru mencecah
di gigi air
yang bersiap
kelaut besar.
Dimeja panjang
kisah tuan
sedikit terletak di pukat
dan nelayan muda ini
siap melemparkannya
kesamudera luas.
Moga-moga nelayan ini
tegar melempar jala
memukat kisah
di samudera
tak nampak pantainya.
Kisah tuan,
biar kekal di pukat
tawa tuan,
tak tanggal
terlekat
moga tuan diam dalam
rahmat.

nazmi

Monday

InnaliLlah-wainnailaihi-raji'un

Jenazah wartawan BH selamat dikebumikan
Berita Harian, 6 Februari 2005


KUALA LUMPUR: Jenazah Wartawan Eksekutif Berita Harian (BH), Nazar Abdul,54, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas, Ampang, di sini selepas solat Jumaat, semalam. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir jam 11.21 malam semalam di depan isteri, anak dan saudara maranya selepas dimasukkan Hospital Tawakkal pada jam 6.20 pagi.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Rosiah Hamid, 51, dan seorang anak, Nazdiana, 24. Anak tunggal Allahyarham, Nazdiana berkata, bapanya mengadu sakit perut dan minta dihantar ke hospital awal pagi kelmarin. Bagaimanapun, katanya, keadaan Allahyarham semakin serius dan menghembuskan nafas terakhir selepas kira-kira tujuh jam dimasukkan ke hospital berkenaan.

Beliau berkata, Allahyarham pernah menjalani pembedahan kanser usus, tiga tahun lalu.
Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Biro Berita Harian Alor Star dan wakil Berita Harian di Jakarta dan jawatan terakhir sebagai Wartawan Eksekutif Berita Harian di Unit Luar Negara.